Kuala Lumpur bukan sekadar Ibu Negara Malaysia – Ia masih hidup dan sentiasa berkembang. Daripada sebuah penempatan perlombongan bijih timah kepada kota kosmopolitan, warisannya tidak hanya terletak pada bangunan, tetapi juga pada rakyatnya, tradisi dan sejarahnya yang membentuk jiwanya.
“Warisan adalah apa yang anda warisi,” kata Dato’ Hamdan Majeed, Pengarah Urusan Think City. “Tetapi ia bukan sekadar memelihara bangunan lama. Ia tentang melindungi jiwa sebuah kota – identitinya, kisah-kisahnya dan cerita yang terdapat disebalik tempat itu.”
Apabila bandar-bandar di seluruh dunia bersaing untuk menarik bakat dan pelaburan, Hamdan percaya kekuatan KL terletak pada penerimaan DNA-nya yang unik. “Kita hidup dalam zaman di mana faktor mobiliti sangat tinggi – manusia, modal, teknologi, semua ini boleh bergerak. Tetapi ‘tempat’ kekal. Jadi bagaimana kita menghidupkan sesuatu tempat bergantung kepada apa yang kita sudah miliki. Lagi banyak kita meraikan dan memperkembangkan apa yang ada, lagi menonjollah kita.”
Bagi Hamdan, anak kelahiran Pulau Pinang yang telah menetap di KL selama lebih tiga dekad, daya tarikan KL terletak pada kepelbagaiannya. “Gaya pemakaian kita pun sangat pelbagai. Kadang-kadang kita anggap itu perkara biasa, tetapi itulah kekuatan kita. Penting untuk kita raikan perkara-perkara ini sebagai sesuatu yang positif. Itu tanggungjawab kita bersama.”
Hamdan teruja dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti aset-aset sedia ada serta mengukuhkan hubungan antara satu sama lain. Beliau berkongsi bahawa inisiatif Warisan KL, yang akan dilancarkan minggu ini, akan memberi tumpuan kepada pemeliharaan beberapa mercu tanda ikonik di bandar ini sambil membantu membentuk masa depan Kuala Lumpur.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun masih muda – KL diasaskan sekitar tahun 1857, menjadikan bandar ini berusia lebih 167 tahun, pada tahun ini – menariknya, struktur bandarnya kekal utuh. “Kalau kita lihat morfologi bandar – tapak asal bandar ini – ia sangat menakjubkan. Ada tenaga di sini. Ia muda, dinamik dan sentiasa mencipta semula dirinya,” katanya, sambil menambah bahawa apa-apa yang berunsur sejarah dan mampu mencetuskan kepelbagaian, reka bentuk dan dialog sentiasa menarik perhatiannya.
Beliau memberikan contoh beberapa kebangkitan semula komuniti yang paling ketara, seperti Bangunan Zhongshan di Kampung Attap dan Kwai Chai Hong di Petaling Street. Inisiatif ini bukan datang dari atas, tetapi dibina dari akar umbi. “Kita wujudkan platform, kumpulkan suara-suara, dan biarkan rasa pemilikan itu tumbuh dari dalam,” kata Hamdan mengenai peranan Think City dalam menyokong komuniti untuk menuntut semula dan mentafsirkan ruang yang ada dengan cara mereka sendiri.
Semangat untuk menjaga secara kolektif ini berkembang ke seluruh bandar - bukan sekadar melalui dasar atau usaha pemuliharaan, tetapi juga secara niat peribadi yang sangat mendalam.