Apabila pandemik memaksa kedai tersebut menutup operasinya pada pertengahan tahun 2020, Yeoh tahu dia perlu bertindak – bukan sahaja untuk menyelamatkan mesin dan stok kedai itu, tetapi juga untuk mengekalkan cara kerja yang lebih perlahan, berasaskan sentuhan tangan.
Dia masih ingat saat diberitahu bahawa mesin-mesin letterpress itu akan dijual sebagai besi buruk. “Saya sebenarnya tak tahu pun macam mana nak buka studio letterpress,” kata Yeoh sambil tersenyum. “Tapi saya tahu saya tak boleh biarkan mesin-mesin ini – dan segala nilai disebalik mesin lama ini – dibuang begitu sahaja.”
Cabaran semasa tempoh awal perintah berkurung di Kuala Lumpur menjadikan misi menyelamat itu lebih sukar. “Terdapat pelbagai sekatan pergerakan ketika itu,” kata Yeoh. “Bayangkan, bagaimana untuk mengosongkan sebuah bengkel cetakan dalam keadaan sebegitu.”
Dengan pergerakan yang sangat terhad, dia terpaksa mengangkut peralatan lama itu ke rumah terlebih dahulu, sedikit demi sedikit. Di sana, dia mengambil masa untuk mengkaji mesin-mesin tersebut, membaiki apa yang mampu, dan memikirkan bagaimana suatu hari nanti ada ruang yang sesuai untuk diletakkan ke dalam ruang galeri Lostgens.
“Adalah penting untuk menyelamatkan manual lama, kerana ia memberi panduan penting dalam membaiki dan mengendalikan mesin-mesin ini,” katanya.
Menyelamatkan San Sang Press hanyalah permulaan. Sejak dari itu, Yeoh telah menjejak lebih banyak mesin cetak dari Segamat, Johor dan Jinjang, Selangor – menyelongkar kedai-kedai dan gudang-gudang yang menyimpan peralatan cetakan telah lama yang dibiarkan berhabuk.
Bagi Yeoh, penubuhan Lost Prints ibarat menyusun kepingan puzzle. Memulihkan mesin-mesin dan belajar cara menggunakannya adalah satu cabaran, tetapi apa yang penting adalah di penghujungnya ia membuahkan hasil. “Mesin-mesin ini, masing-masing mempunyai kisah tersendiri, ini adalah nadi kepada Lost Prints, tempat di mana pengunjung boleh menikmati sendiri proses cetakan secara manual,” kata Yeoh.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Yeoh telah menerima bantuan daripada bekas pensyarah seni yang telah bersara, Yuen Kheng Seng (juga dikenali sebagai Sky), yang membantu membaik pulih mesin-mesin, merancang program letterpress, serta mengukir blok abjad kayu untuk menambah inventori.
“Studio cetakan ini bukan muncul dalam sekelip mata – ia memerlukan banyak perancangan dan usaha untuk merealisasikannya. Pengalaman Yuen dalam bidang ini sangat membantu, bukan sahaja dari segi pengetahuan teknikal, tetapi juga pandangan yang bernas sepanjang proses,” kata Yeoh.