Roestam percaya bahawa kedai buku bebas boleh memainkan peranan dalam membentuk identiti dan pembangunan sesebuah kota – sesuatu yang dia harap Riwayat mampu capai dalam jangka masa yang panjang.
“Kedai buku sebenarnya boleh menjadi enjin senyap dalam kehidupan sivik sesebuah masyarakat. Tetapi ini sesuatu yang mengambil masa… bahkan mungkin bertahun-tahun untuk benar-benar berakar. Ini dapat kita lihat di banyak kedai buku di seluruh dunia… yang kebanyakannya telah beroperasi selama berdekad. Di Eropah, sebagai contoh, ada kedai buku bebas yang telah wujud lebih 30 tahun.”
“Setiap orang ada peranan masing-masing. Kedai buku bebas hanya boleh terus hidup jika komuniti percaya dan menyokongnya. Jika lebih ramai pembaca di Lembah Klang memilih untuk menyokong kedai tempatan berbanding rangkaian besar – bukan sekadar berkunjung, tetapi dengan membeli dan membawa pulang sebuah buku – itu amat besar bezanya. Setiap pembelian dapat bantu memastikan kelangsungan kedai buku bebas. Mengendalikan kedai buku fizikal memang ada cabarannya, tetapi dengan sokongan yang berterusan dan tulus, kami percaya Riwayat boleh terus berkembang.”
Setakat ini, sambutan terhadap Riwayat boleh dikatakan “tenang tetapi menggalakkan”, katanya.
“Saya telah bertemu ramai orang yang berkata, ‘Saya tak sangka akan jumpa tempat seperti ini.’ Itu sangat bermakna buat saya. Ada banyak detik indah, tetapi mungkin yang paling menyentuh perasaan saya apabila melihat wujudnya komuniti kecil yang komited – pelanggan yang datang semula, menyokong dengan membeli buku, dan turut ikut dalam perbualan yang bermakna.”
Kata-kata Roestam mengakhiri sesi: “Selepas ini, saya berharap Riwayat akan terus mengakar lebih dalam – untuk menerbit, mendokumentasi naratif yang belum diceritakan, dan kekal terbuka untuk berevolusi seiring perubahan dunia di sekeliling kita.”